Emas diniagakan dalam jajaran sempit semalam, berlegar menghampiri paras terendah dalam tempoh tiga bulan di tengah-tengah peningkatan pengaliran keluar dana pelaburan berkaitan emas.
Situasi semasa itu turut diburukkan lagi dengan laporan bahawa penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) sudah mencapai beberapa kemajuan ke arah menyelesaikan kebuntuan masalah bajet negara itu.
Harga emas, komoditi yang kebiasaannya dianggap paling selamat dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi, kini dilihat gagal meningkat walaupun perbalahan mengenai kebuntuan fiskal di AS berlarutan sebelum ini.
Harga komoditi itu menyusut kira-kira empat peratus di bawah paras AS$1,300 seauns sejak kerajaan AS mengisytiharkan penutupan sementara sebahagian daripada operasinya, bermula 1 Oktober lalu.
“Berdasarkan analisis sejarah, kita boleh menjangkakan harga emas bakal meningkat dalam tempoh minggu di mana kerajaan AS berdepan dengan kebuntuan masalah fiskalnya,” kata penganalisis di Nomura Securities Sydney, Amber MacKinnon.
“Sekiranya situasi itu benar-benar berlaku, emas akan berada dalam corak pegangan (peningkatan pembelian).
“Peningkatan harga komoditi itu juga boleh berlaku jika berlakunya penurunan (kredit) kewangan AS,” katanya.
MacKinnon berkata, sebelum ini, semasa perdebatan masalah fiskal AS untuk meningkatkan had siling hutang negara itu pada 2011 – yang mana penyelesaiannya hanya dicapai pada minit terakhir – harga emas tidak bertindak balas dengan ketara sehinggalah selepas Standard & Poor menurunkan penarafan kredit AS.
Harga komoditi itu akhirnya mencecah paras tertingginya iaitu AS$1,920 seauns pada September tahun itu.
“Nampaknya, emas tidak meningkat dalam tempoh masa AS mengalami masalah ketegangan politik (dan harga emas dijangka meningkat semula) sehinggalah selepas peristiwa itu tamat,” kata MacKinnon.
Harga rujukan emas meningkat sehingga 0.02 peratus kepada AS$1,273.10 seauns pada 0317 GMT, selepas berlakunya rentetan penurunan selama empat hari dalam sesi sebelumnya.
SPDR Gold Trust, dana pelaburan emas terbesar dunia (ETF), berkata pegangan emasnya susut 1.85 tan kepada 889.13 tan pada Isnin lalu, untuk mencecah tahap terendah dalam tempoh empat tahun.
Situasi ini sekali gus mencerminkan menurunnya keyakinan dalam kalangan pelabur.
No comments:
Post a Comment